Thursday 29 January 2015

Kau Bukan Tuhan Kami!

Mood: Biasa

Lagu: Immortals dendangan Fall Out Boy (best doh)


Malam itu langit merah. Guruh kedengaran dari pelbagai arah. Tiada petir, hanya kilat sesekali menunjukkan kehadirannya dari lapisan atas awan dengan sinaran separa malap.

Ramai orang berkumpul di luar perkarangan masjid di kawasan letak kereta. Tiada kereta di situ. Mereka kelihatan bertanya-tanyaan tentang mengapa mereka semua di sini. Ada yang bertanya mengapa langit malam itu semacam saja. Tidak kurang ada yang mendiamkan diri. Aku melihat saja gelagat mereka.

Sebuah platform seakan podium yang diapit 2 tiang bendera berada di antara masjid di sebelah kanan, dan tempat letak kereta di sebelah kiri, yakni tempat kami berkumpul. Dia lihat ada seorang lelaki berjubah putih naik ke atas platform tersebut dan kami mula berkumpul di hadapannya. Beliau tidaklah kelihatan terlalu muda. Barangkali dalam umur 30an.

Guruh & kilat semakin galak. Awan yang kemerahan malam itu mula bergerak seolah punya rentak tersendiri. Perlahan-lahan awan itu mula berkumpul.

Sesuatu bakal berlaku pada malam itu.

Mereka semua mendongak & menyaksikan fenomena tersebut. Langit merah serta awan yang berkumpul. Kedengaran istighfar, zikir & pelbagai bait kerisauan kedengaran dalam jemaah. Aku diam, hanya memerhatikan kejadian & sekeliling dengan hati penuh debar.

Awan yang berkumpul mula menampakkan bentuk beberapa minit kemudian. Ia membentuk menjadi sebiji mata yang besar di atas langit. Suara guruh mula reda sedikit. Kami kaget. Terkesima. Ada yang masih beristighfar & menyebut kalimah-kalimah Tuhan.

Kedengaran suara dari langit waktu itu, disyaki datang daripada "mata" tersebut.

"Akulah Tuhan kamu. Sujudlah kepadaku sekarang"

Keadaan menjadi riuh rendah. Lelaki di atas platform menuding jarinya ke arah bentukan awan tersebut sambil berteriak keras,

"Kau bukan Tuhan kami! Kami tidak akan sekali-kali sujud kepada kau!"

Mereka yang ada di perkarangan merasa takjub. Dia pada waktu itu hanya memerhatikan. Tidak bercakap sepatah pun sejak muncul di masjid tadi.

Mata tersebut membalas cabaran lelaki tadi, "Kalau begitu saksikan kuasaku!"

Anak mata pada bentukan awan menembak masjid yang ada di belakang lelaki tersebut dengan satu tembakan api seperti senjata "flamethrower" dari ketinggian lebih kurang 35 ribu kaki. Jauh dari logik, tapi itulah hakikat yang berlaku pada malam itu.

Masjid tersebut terbakar marak. Kedengaran bunyi seakan sesuatu runtuh daripada bahagian lain masjid. Keadaan tidak lagi dapat dikawal. Jemaah menjadi kelam kabut. Jeritan di sana sini. Aneh. Dalam debar dia tetap berdiri pada tempatnya.

Dan dari situ, dia melihat ada beberapa orang lelaki dari jemaah tersebut, mungkin 3-4 orang, berdiri teguh di tempat masing-masing. Walaupun dilihat dari belakang, dia merasakan mereka tidak gentar terhadap apa yang berlaku. Mereka yang tetap berdiri, dan yang berada di atas platform juga kelihatan tetap teguh di atas platform.

Dia yang berada di situ, yang menjadi saksi juga tetap berdiri walaupun rasa cuak menyelubungi diri.


... dan dia terjaga dari mimpi tersebut. Dia menangis.

... dan mimpi itu permulaan kepada mimpi-mimpi lain. Mimpi-mimpi yang mengekori.


sekadar gambar hiasan

2 comments: